WARISAN BUDAYA JANGAN DILUPA
Assalamualaikum wbt. dan Salam sejahtera
Sirih junjung buat pinangan,
Dihias indah cantik ditatang;
Tradisi kita dilupa jangan,
Adat dikendong budaya dijulang.
Warisan Melayu ( Kebaya)
Malaysia mempunyai latar belakang zaman silam yang menarik, sekali gus merupakan laluan dagangan antarabangsa suatu ketika dahulu, yang mempunyai pelbagai budaya di dalamnya. Ia memaparkan keunikan warisan budaya masyarakatnya yang mempunyai pelbagai pengaruh, tidak salah jika Malaysia digelar sebagai ‘kampus’ warisan budaya.
Warisan budaya harus dikekalkan kerana ia melambangkan dan mencerminkan identiti sesebuah negara dan bangsa. Tamadun sesuatu bangsa biasanya dapat dilihat pada warisan seni budayanya, yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara, seperti pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya.
Amalan warisan budaya melambangkan sikap majmuk masyarakatnya. Misalnya, pakaian atau busana tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Pemakainya juga tidak merujuk kepada sesuatu bangsa sahaja. Misalnya, kebaya yang mewakili sebahagian besar warisan Melayu dan mencerminkan gabungan unik budaya di Asia Tenggara. Kebaya merupakan sejenis pakaian pertama yang dipakai oleh wanita Melayu pada kurun waktu abad ke-15 atau ke-16 Masihi. Persalinan kebaya cukup sinonim dengan adat resam negara dan dikhabarkan berasal daripada baba nyonya dan kemudian menyebar ke seluruh bahagian Nusantara.
Pakaian yang menjadi warisan budaya ini tidak hanya dipakai oleh kaum Melayu malah dipakai oleh kaum-kaum lain yang terdapat di Malaysia. Tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India, bebas memakai pakaian tradisional bangsa lain. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat di Malaysia bersatu hati dan sangat menghormati cara, pemikiran, budaya, dan agama sesama mereka.
Persalinan yang diperbuat utamanya daripada kain kasa dipasangkan dengan sarung, batik atau pakaian tradisional lain seumpamanya seperti songket dengan motif pelbagai corak dan warna. Masyarakat berbaju kebaya berbangga dengan gaya jahitan dan sulaman mereka sendiri, yang diturunkan daripada generasi kepada generasi. Reka bentuk kebaya menunjukkan gabungan budaya contohnya, motif tradisional Jawa dan corak batik seperti kawung (buah sawit), atau motif daripada budaya Melayu, Cina, India ataupun tradisi dari Eropah, sama ada bunga dan haiwan, makhluk mitos, atau kiasan elemen.
Baru-baru ini, Malaysia bersama Singapura, Brunei dan Thailand telah bersepakat mencalonkan pakaian tradisi kebaya untuk dilestarikan dalam Senarai Perwakilan Unesco bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH). Pencalonan yang akan dikemukakan pada Mac 2023 ini akan memartabatkan kebaya yang telah wujud sejak permulaan abad ke-20 sebagai busana budaya dan tradisi banyak masyarakat di Asia Tenggara.
Semoga warisan budaya ini dapat dikenali satu dunia dan dikekalkan untuk anak cucu kita
