ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

 Assalamualaikum wbt. dan Salam sejahtera


 

Perkongsian saya pada kali ini adalah tentang seorang tokoh yang merangkul gelaran sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden "Abdullah Munsyi".

    Abdullah Munsyi atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi merupakan penulis pertama digelar Bapa Kesusasteraan Melayu Moden kerana hasil-hasil karya dan penulisannya menggunakan teknik atau stail penulisan moden yang lazimnya tidak terdapat dalam karya sastera Melayu lama. Beliau juga dikenali sebagai Sasterawan Melayu. Abdullah Munsyi mempunyai identiti sebagai seorang Peranakan Keling dan identitinya berbeza daripada identiti Melayu dan Barat. Namun beliau dapat menempatkan dirinya sebagai tokoh yang dihormati dan dikenali oleh masyarakat Melayu dan Barat khususnya Inggeris. Beliau telah bertugas sebagai penyalin dokumen kepada Sir Stamford Raffles. 

      Pada masa yang sama beliau telah menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu untuk pergerakan-pergerakan mubaligh Kristian di Singapura dan Melaka. Antara karya-karya terkenal Abdullah Munsyi ialah Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah. Banyak antara karya beliau yang cuba diketengahkan mengandungi unsur pengkritikan terhadap pemimpin Melayu, etika penggunaan bahasa dan budaya. Abdullah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarahwan, penterjemah dan sebagainya. Abdullah Munsyi juga terkenal kerana menulis hikayat-hikayat yang bersifat realistis dan kontemporer. Abdullah Munsyi dianggap seorang pemikir yang melampaui abadnya.

 

Sumbangan Abdullah Munsyi dalam perkembangan sastera Melayu moden sehingga beliau digelar sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu moden; 

  • Membawa unsur pembaharuan dalam lapangan sastera Melayu. Dalam penulisannya, beliau telah melakukan beberapa perubahan dengan adanya isi cerita di mana dalam isi cerita ini beliau menulis perkara-perkara yang benar-benar berlaku di dunia nyata berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya sewaktu melawat disesuatu negeri. Beliau  tidak menyelitkan unsur-unsur mitos, dongeng dan lagenda dalam karya-karyanya. Selain itu, mewujudkan unsur watak dan perwatakan dalam karya penulisan iaitu dalam konteks ini watak yang dikemukakan meliputi semua lapisan masyarakat daripada golongan raja hingga rakyat biasa. Ini amat berbeza dengan karya-karya terdahulu yang kebanyakkannya mengisahkan watak-watak daripada golongan raja dan pembesar. Seterusnya, gaya bahasa yang digunakan oleh beliau dalam karya banyak terpengaruh dengan bahasa pertuturan dan bahasa asing. Penggunaan perkataan inggeris ini adalah suatu perkara baru dalam karya-karya sastera pada zaman tersebut. Dalam penulisannya mengandungi kritikan yang tajam yang ditujukan kepada golongan bangsawan dan masyarakat melayu. Justeru itu, Kebanyakan karya Abdullah mempunyai tarikh dan masa yang tepat. Hal ini untuk mengetahui bila karya tersebut dihasilkan, mengetahui bentuk latar belakang yang dihasilkan, dan elemen penciptaan yang diketengahkan serta mengetahu era penulisan karya tersebut. Beliau juga turut menulis namanya sebagai penulis karya yang dihasilkan. Ini berbeza dengan karya terdahulu yang tidak menulis nama pengarang dalam karya yang dihasilkan. Hal ini dapat mengelakkan penulis tidak tulis sembarangan tetapi penulis mesti bertanggungjawab. Oleh itu, sekiranya perkara-perkara itu boleh menimbulkan sesuatu yang tidak baik boleh dikenakan tindakan. Justeru itu, karya-karya beliau lebih terdedah kepada mesej-mesej yang berbau kritis, positif dan progresif.

  • Keberanian dalam melakukan kritikan dan merubah pemikiran masyarakat melayu.  Beliau seorang penulis yang berani mengkritik dan memberi komen. Kritikan yang dilontarkan adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat melayu yang tidak lagi mempercayai akan kepercayaan yang mengarut. Selain itu, beliau juga mengkritik mengenai golongan raja yang mengamalkan sistem feudal dalam pemerintahan dan pentadbiran.
     
  • Melakukan penulisan dalam bentuk biografi. Beliau merupakan orang pertama yang menulis dalam bentuk ini. Pembaharuan yang dilakukannya ini termasuk dari segi teknik penulisan seperti biografi ini. Hal ini menunjukkan salah satu perkembangan dalam kesusasteraan melayu moden. Apabila beliau menulis cara begini maka, karyanya sangat sukar untuk mengarah kepada fantasi, malah segala-galanya merupakan kenyataan yang sukar dinafikan. Ianya bersifat wartawan yang sentiasa mencari berita dan berita itu mahu ditulis serta dinilainya secepat mungkin. 

  • Menghasilkan dokumentasi sejarah yang mencerminkan masyarakat melayu terdahulu. Dalam penulisannya, beliau telah mengupas aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Aspek yang mendapat perhatian di mata beliau ialah kemunduran orang-orang Melayu, soal pelacuran di Kelantan, kezaliman raja dan sebagainya. Contohnya, beliau berpendapat kemunduran orang-orang Melayu berpunca daripada sikap raja dan golongan bangsawan yang mengambil kesempatan terhadap ketaatan rakyat kepada mereka. Di Kelantan, rakyat berfungsi untuk memberi khidmat kepada raja dan kerabatnya sahaja sehingga tiada masa untuk bekerja. Malah kadang-kadang harta yang dimiliki oleh mereka turut dirampas oleh raja. Di Terengganu, beliau mengkritik sistem perhambaan dan adat atau pantang larang yang dikenakan agar tidak menyamai golongan pemerintah. Namun, beliau berasa hairan kerana tiada pula adat yang melarang rakyatnya hidup dalam kedaifan dan kehinaan.


    Sekian, terima kasih.


Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

KRITIKAN FILEM : PULAU