TRAGEDI 2022 : TRAGEDI MERUNTUN JIWA DI BATANG KALI
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Operasi pencarian mangsa-mangsa yang tertimbus
Sebelum tahun 2022 melabuhkan tirainya, seluruh warga Malaysia telah digemparkan dengan berita tentang tragedi tanah runtuh yang telah berlaku pada tanggal 16 Disember 2022. Kejadian tanah runtuh ini berlaku di sebuah tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali, Selangor yang telah membabitkan 92 orang mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban. Kejadian ini merupakan kejadian kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada tanggal 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi buruk yang melanda negara Malaysia ini merupakan satu peristiwa yang sangat menyayat hati dan meruntun jiwa serta mengakibatkan trauma yang sungguh dasyat kepada seluruh ahli keluarga yang terlibat. Sebuah percutian yang disangkakan akan mengamit sejuta kenangan indah namun sebaliknya menyentap jiwa dan perasaan yang suram lagi kelam. Peristiwa ini akan terpahat sebagai memori gelap kepada seluruh rakyat Malaysia buat selama-lamanya. Akan tetapi, ingatlah bahawa segala yang berlaku di atas muka bumi ini sudah pasti ada hikmah disebaliknya. Sesungguhnya segala perancangan Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya itu adalah jauh lebih baik.
Ucapan takziah saya sampaikan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Diharapkan semoga semua ahli kelaurga mampu berlapang dada dan reda dalam menerima segala takdir dan ketentuan ilahi ini. Saya turut mendoakan agar mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi ini ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan diterima segala amal kebaikannya di sisi Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya wajib untuk sentiasa berprasangka baik terhadap segala ujian yang dihadirkan dalam kehidupan ini. Sesungguhnya Allah itu tidak kejam dan tidak akan menguji hamba-hamba-Nya diluar kemampuan dan kudrat mereka.
Saya juga turut berbesar hati untuk mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada seluruh ahli pasukan mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh ini. Mereka telah sedaya upaya mengerahkan tenaga dan bertungkus lumus demi menyelesaikan tuntutan terhadap misi tersebut dengan jayanya dimana semua mangsa yang terbabit dapat ditemui walaupun ada yang terkorban.
