POLITIK : MALAYSIA ATAU INDONESIA
Assalamualaikum wbt. dan Salam sejahtera.
Ibu negara Malaysia (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
Ibu negara Indonesia (Jakarta)
Narasi politik bagi setiap negara di dunia adalah berbeza meskipun kita sudah didoktrin dengan pelbagai idea dan pandangan kuasa-kuasa Barat yang seakan-akan sama dengan idea untuk mengembalikan kestabilan kepada dunia. Sistem pemerintahan pada masa ini tidak lagi seperti permulaan zaman Hijrah iaitu amalan gaya politik sistem Syura' atau Musyawarah. Meskipun begitu, dunia terus melangkah ke hadapan selepas era Kegelapan, Pencerahan dan Penjajahan. Setiap negara yang merdeka bercita-cita untuk mencapai kata sejahtera dan mencapai kemajuan di peringkat antarabangsa. Perkongsian pada kali ini sebagai sebuah medium untuk memberi kesedaran kepada para pembaca tentang perihal kepentingan kestabilan politik dalam negara kepada pembangunan ekonomi, sosio-politik dan keilmuan.
Pada pandangan saya sebagai seorang mahasiswi serta penulis, kestabilan politik dalam sesebuah negara bergantung kepada pengaruh yang dibawa oleh seseorang pemimpin dalam menerajui nakhoda pemerintahan sepanjang penggal atau tempoh masa yang diberikan.
Malaysia
Semenjak negara ini diberikan gambaran bakal merdeka daripada kekuasaan penjajah, maka pihak kolonial British telah mendoktrinkan pemikiran masyarakat kelas atasan (ahli politik) mengenai sistem kapitalis serta sistem pemerintahan yang berbeza dan kononnya tidak primitif. Malaysia telah mengangkat putera berketurunan Istana Kedah Darul Aman iaitu Tuanku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama kepada Persekutuan Tanah Melayu. Setelah wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak menyertai gagasan Malaysia, maka negara ini semakin berkembang pesat sehingga ke tampuk pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-4 bermula pada 1981 sehingga tahun 2003. Namun, kestabilan politik Malaysia kian goyah setelah berlakunya banyak siri pertukaran pemimpin bermula setelah Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang dikhabarkan didesak oleh partinya sendiri untuk turun daripada tampuk pemerintahan demi mengangkat pemimpin lain yang lebih bercita tinggi dalam memajukan Malaysia. Sehingga pada masa ini, Malaysia telah mempunyai 9 orang bekas Perdana Menteri namun Malaysia kian diancam kemunduran dalam aspek politik dan ekonomi. Mengapa? Tempoh pemerintahan seseorang Perdana Menteri itu tidak mencukupi untuk membawa kemajuan kepada negara.
Indonesia
Sebuah negara bercorak Kesatuan (Republik) yang merupakan tanah bekas jajahan Belanda dan mengamalkan sistem Demokrasi Berpresiden. Umum gemar mengatakan bahawa sistem Berpresiden (Indonesia) adalah lebih baik berbanding sistem Berparlimen (Malaysia), namun saya berpendapat bahawa kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Indonesia setakat ini telah mempunyai seramai 7 orang Presiden bermula pada era penguasaan Parti Komunis Indonesia (PKI) iaitu Soekarno yang membawa semangat Pancasila sehingga pada era milenium ini tampuk pemerintahan dipimpin oleh Joko Widodo seorang teknokrat serta ahli perniagaan yang menginginkan kemajuan dan kestabilan kepada Indonesia. Pada suatu ketika dahulu, Indonesia dianggap sebagai negara mundur dengan pelosok alam yang pelbagai. Namun, pada masa ini Indonesia semakin berkembang pesat dengan pelbagai kerjasama diplomatik antara negara-negara seperti G-20 serta kerjasama dengan pelbagai teknokrat luar negara seperti Tesla dan lain-lain. Mengapa Indonesia semakin maju? Kerana Indonesia memberi peluang kepada pemimpin mereka untuk mencapai satu fasa kematangan dalam pemerintahan supaya kestabilan politik dapat dicapai sekaligus membawa kepada perkembangan ekonomi, sosial dan keilmuan yang pesat.
Hadirin pembaca.
Di manakah silap Malaysia?
Tepuk dada tanya selera.

