MASA DEPAN SASTERA
Assalamualaikum wbt. dan Salam sejahtera.
"Umumnya, tiada siapa yang akan mengetahui persis apakah yang akan benar-benar terjadi pada masa depan, ternasuklah yang akan terjadi kepada sastera Melayu"
Namun, berdasarkan data, fakta serta peristiwa yang berlaku dahulu dan kini, khususnya perkembangan dalam bidang politik, ekonomi, teknologi, pendidikan, budaya, dasar dan sebagainya, manusia boleh menjangkakan apakah yang akan berlaku kepada bidang sastera.
Keberadaan sastera pada masa depan amat dipengaruhi oleh persekitaran dalam konteks perkembangan yang telah dinyatakan. Keadaan sosial pada masa depan akan memberi kesan kepada sastera dan pengkaryanya kerana melibatkan gaya hidup dan cita rasa masyarakat yang lebih dipengaruhi oleh perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat.
Perkembangan tersebut sudah tentu menuntut agar penulis juga menghasilkan karya sastera dalam bentuk digital yang sesuai dibaca dalam format tersebut. Pada masa yang sama, penulis pada masa depan juga perlu mempromosikan dan menjual sendiri bukunya. Untuk memastikan sastera terus berkembang maju dan tetap relevan, penghasilan karya secara adaptasi atau alih wahana perlu diperhebatkan. Kaedah didik hibur dan interaktif dalam mengembangkan dan menyebarluaskan karya sastera perlu menjadi trend pada masa depan.
Walau bagaimanapun, pada hemat penulis terhadap masa depan sastera tradisional khususnya puisi tradisional, daripada segi genre dan bentuknya tidak akan berubah, meski akan berlaku perubahan daripada segi sarana dan wahana pemeliharaan, penyebaran dan pewarisannya. Sastera tradisional pada masa depan kekal relevan dan cerah kerana nilai legasi, klasik dana malar hijau genre tersebut berbanding dengan kesusasteraan moden yang lebih bersifat kontemporari.
Dalam konteks sastera moden pula, wujud pandangan yang optimistik dan pesimistik terhadap keberadaannya. tatkala berbicara tentang masa depan sastera, antara perkara yang sering dibangkitkan ialah perihal status kesusasteraan Melayu sebagai salah satu daripada subjek teras atau opsyen di peringkat sekolah menengah.
Shahnon Ahmad (2008) pernah menyatakan tentang hakikat sastera dalam zaman mana-mana pun:
"Sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa sastera sebenarnya ialah rahsia dan sulit; dirahsiakan dan disulitkan oleh sasterawan melalui pelbagai jenis wadah yang membentuk gabungan kerana pada dasarnya makna kehidupan dan pengalaman itu pun sulit dan rahsia. Kerahsiaan sastera kadang-kadang begitu tersembunyi sehingga para khalayak perlu mempunyai kekuatannya yang tersendiri daripada segi kreativiti, sensitiviti dan daya gabungan untuk benar-benar memahami karya sastera itu, dan seterusnya terhibur olehnya."
Sekian, terima kasih.
