KHADIJAH TOK SELEHOR (TOKOH AGAMAWAN WANITA)

Assalamualaikum wbt. dan selamat sejahtera 


Tokoh Agamawan Wanita ?


Jarang sekali kita mendengar tokoh agamawan dalam kalangan golongan wanita. Sememangnya majoriti hanya mengetahui ulama ini lahir daripada kalangan lelaki sahaja. Namun, tidak bermakna bahawa tokoh agamawan dalam golongan Hawa ini tidak wujud. Naratif ini terjadi disebabkan kedudukan wanita masih dipandang enteng oleh masyarakat. Sementelahan lagi pada zaman dahulu dimana segala hak-hak wanita didiskriminasikan dan perjuangan mereka dalam  menerajui objektif  untuk melakukan reformasi terhadap kehidupan manusia tidak diagung-agungkan dalam kelompok masyarakat. 

Dalam konteks ini, sungguhpun seseorang perempuan itu merupakan dalam kalangan ulama, tapi kegiatan mereka lebih bersifat di belakang tabir. Apatah lagi dengan keadaan zaman yang tidak mengiktiraf penulis perempuan sampaikan mereka berselindung di sebalik nama saudara lelaki mereka. Betapa besarnya jiwa perempuan pada zaman tersebut, mereka rela tulisan mereka dikreditkan pada orang lain asalkan ilmu mereka dapat disampaikan pada masyarakat umum. Sudah tentu hal ini tidak sama dengan zaman sekarang, di mana sudah ramai professor atau doktor falsafah perempuan dalam bidang agama yang menulis kajian dan thesis dengan nama sendiri.Ia adalah sesuatu hal yang kita tidak pernah terfikirkan pada zaman sekarang apabila kita menyelak lembaran sejarah golongan wanita. Namun, seiring peredaran zaman dan usaha menggali tulisan ulama perempuan, akhirnya kita dapat mengetahui serba sedikit tentang sumbangan mereka.

Reformasi ini telah mengangkat kedudukan wanita dalam kalangan masyarakat. Di Malaysia, telah muncul beberapa tokoh agamawan wanita yang perlu diberi penghormatan dan dikenang segala sumbangannya seperti Khadijah Tok Selehor. Nama penuhnya ialah Hajjah Khadijah binti Haji Abdul Rahman, puteri kepada seorang ulama Kelantan yang digelar Tok Selehor. Menariknya tentang dia ialah anak dan cucunya merupakan tokoh politik yang dikenali iaitu Dato Dusuki. Beliau merupakan penulis kitab yang giat menulis. Antara tulisannya ialah Risalah dan Syarat-Syarat Rukun Sembahyang, Risalah Sifat Dua Puluh, Risalah Ringkasan Rukun Iman, Kitab Pengenalan Ringkasan Kata-Kata Orang Tasawuf, Ringkasan Sejarah Rasulallah SAW dan Ringkasan Sifat-Sifat Mahmudah dan Sifat-Sifat Mazmumah. Beliau juga banyak menelaah kitab karangan ayahandanya dan juga suaminya yang juga dalam kalangan ulama. Beliau amat mahir dengan Kitab Hikam (Tasawuf) karangan Ibnu Attaillah, Kitab Musalli (Fekah) karangan Syeikh Daud Al-Fatani dan Kitab Faridatul Faraid (tauhid). 

Melalui penulisannya, dapat kita lihat bahawa beliau merupakan tokoh agamawan yang banyak berkhidmat menabur bakti dalam bidang keagamaan supaya segala naskah ini mampu mengembangkan agama islam diseluruh pelosok dunia dan melakukan transformasi sosial dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda agar tidak mudah terpesong melakukan perbuatan yang dimungkari oleh Allah SWT. Pada pandangan saya, masyarakat perlu mencelikkan mata dan membuka telinga untuk mengenali tokoh-tokoh wanita agama yang telah menyumbang kepada kemajuan manusia sehingga ke hari ini.Sewajarnya mereka diiktiraf dan memperkembangkan lagi intisarinya serta dibukukan dalam lembaran sejarah di peringkat sekolah termasuk universiti agar kita tidak kehilangan permata agamawan seperti mereka. 


Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

KRITIKAN FILEM : PULAU