KEILMUAN DALAM PENTAS LAKONAN





Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

        Burung merpati di dalam sangkar,
        Baru sepurnama dapat dijerat,
        Kalau kita rajin belajar,
        Ilmu berguna banyak didapat.



PEMENTASAN DRAMA ALANG PERKASA


  PEMENTASAN TEATER CERITERA RAKYAT

        

                                                             

Nama diberi Nurdiana binti Dalami. Seorang anak watan berusia 21 tahun yang kini sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti awam terkemuka di Malaysia iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam program Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan Kepujian. Mengharungi hari demi hari yang penuh dengan liku-liku kehidupan sebagai seorang pelajar yang masih baru dalam dunia sastera. Menanam tekad dan azam untuk menggapai apa jua ilmu agar menjadi nusa bangsa yang berintelektual, berwawasan, berintegriti dan mampu berdaya saing dalam kelompok masyarakat. Perkongsian saya pada kali ini adalah berkaitan dengan skop pengalaman dalam seni lakonan dan pementasan.

1. Pementasan

Aktiviti pementasan ini ekoran tuntutan bagi kerja kursus secara berkumpulan bagi kursus Drama    Melayu (BBK3309) dan Kesusasteraan Rakyat Melayu (BBK3305). Perkara ini menuntut diri ini untuk melibatkan diri secara aktif dalam sebuah produksi yang diberi nama Produksi Trinuansa. Produksi ini dikepalai oleh Saudara Amir Haikal bin Kamarudin selaku Pengurus Produksi. Kedua-dua pementasan tersebut menekankan konsep, genre, dan keperluan yang berbeza. Kepelbagaian ini amat ditekankan oleh Pengarah Artistik yang diketuai oleh Saudara Aidil Syukri bin Amran. Oleh hal yang demikian, pementasan ini harus dijayakan dengan cemerlang. 

2. Keterlibatan
  • Pementasan Alang Perkasa
    Pada awalnya, penglibatan saya dalam pementasan ini membawa watak sampingan sebagai "Orang Kampung" namun terdapat beberapa konflik dan tuntutan dalam produksi yang akhirnya membawa saya naik ke persada watak utama bagi pementasan ini. Saya dipilih untuk memegang watak sebagai "Si Puteri" ( rujuk Alang Perkasa karya S.M. Noor ). Hal ini merupakan sebuah cabaran besar bagi saya kerana tidak mempunyai sebarang pengalaman dan pendedahan dalam ilmu pementasan. Walau bagaimanapun, latihan berpanjangan dan konsisten oleh pihak pengarah telah membawa saya ke arah yang lebih tepat dan berkeyakinan dalam pentas lakonan. Akhir sekali, pementasan Alang Perkasa yang diadaptasikan oleh Saudara Aidil Syukri bin Amran telah berakhir dengan jayanya dan menerima komen-komen positif daripada pihak penonton dan pensyarah kursus.
     
  • Pementasan Teater; Ceritera Rakyat: Wanita Bitara
    Pementasan ini telah diarahkan oleh Saudara Aidil Syukri bin Amran sebagai Pengarah Pentas. Dalam pementasan ini, saya telah diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama sebagai "Bawang Merah" yang telah dianiaya oleh ibu dan saudara tirinya setelah kematian ibu dan ayah kandungnya. Pementasan ini bertujuan untuk mengangkat martabat wanita menerusi medium pentas dan sastera rakyat yang selama ini golongan wanita hanya dipandang rendah oleh masyarakat dan tidak memberi kesan kepada reformasi sosial dalam kehidupan. Tugas yang hendak digalas amatlah berat kerana watak ini memerlukan penghayatan dan impak yang tinggi semasa pementasan berlangsung. Meskipun terdapat konflik dan ketegangan yang berlaku semasa sesi latihan dan raptai namun pementasan ini berjaya ditamatkan dengan tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penonton dan pensyarah yang hadir. 

3. Keilmuan.
  • Memahami Skrip
    Skrip bagi pementasan teater (Wanita Bitara) telah diadaptasi oleh Saudara Amir Haikal dan dimurnikan oleh Saudara Aidil Syukri. Penulisan skrip bagi pementasan ini lebih mencabar berbanding skrip pementasan drama (Alang Perkasa). Hal ini demikian kerana, terdapat perbezaan pada bilangan halaman skrip-skrip berkenaan iaitu 26 halaman (Wanita Bitara) dan 9 halaman (Alang Perkasa). Walau bagaimanapun, kemahiran kepengarangan kedua-dua individu tersebut telah memudahkan pemahaman para pelakon dan kru belakang tabir. Saya berpendapat bahawa kedua-dua skrip yang diadaptasi ini amat mudah untuk difahami kerana penggunaan dari segi ayat dan kosa katanya amat jelas dan tidak mengelirukan. 

  • Lontaran Dialog
    Menurut Saudara Aidil Syukri (Pengarah Pentas) lontaran dialog semasa pementasan sama seperti lontaran kata dalam kehidupan sehari-hari namun ia dilontarkan dengan cara yang lebih estetik dan menarik. Pada pandangan saya, lontaran dialog bagi kedua-dua skrip tersebut amat mencabar kerana para pelakon terutamanya saya memerlukan teknik pernafasan dan penyebutan yang tepat dalam mengeksperisikan setiap dialog dengan baik. Lontaran dialog bagi kedua-dua pementasan ini menuntut saya untuk mempelajari kaedah artikulasi dan diksi masyarakat terdahulu. Walau bagaimanapun, kesukaran dalam melontarkan dialog berkenaan menjadi mudah kerana telah diberi pendedahan terhadap gaya dan ilmu lontaran dialog bagi pementasan tersebut. 
     
  • Penggunaan Pentas
    Pada awalnya, para pelakon yang melibatkan diri dalam kedua-dua pementasan ini agak kaku dan tidak mengetahui akan cara penggunaan pentas dengan baik. Hal ini demikian kerana, majoriti barisan pelakon yang membintangi kedua-dua pementasan ini tidak mempunyai latar belakang dalam seni lakonan dan pementasan. Permasalahan ini dapat diatasi melalui tunjuk ajar daripada Pengarah Pentas dalam menghargai ruang dan peluang untuk melangkah di atas pentas dengan penuh keyakinan. Akhir sekali, lakonan kami menerima pujian daripada para penonton dan pensyarah kerana kami berjaya menghayati watak. 

Sekian, terima kasih.

















                                    
 

Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

KRITIKAN FILEM : PULAU