GURINDAM 12 KARYA RAJA ALI HAJI

Gurindam Dua Belas atau The Twelve Aphorism adalah salah satu mahakarya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Gurindam Dua Belas adalah puisi lama dari bumi Melayu karya Raja Ali Haji yang telah ditulis di Pulau Penyengat, Riau pada tarikh 23 Rejab 1263H/1847M ketika berusia 38 tahun. Beliau merupakan seorang tokoh karya agung yang terulung. Beliau dianggap sebagai pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air. Gurindam Dua Belas ini mengandungi 12 Fasal yang menenkankan aspek pendidikan, agama, dan budaya.

Raja Ali Haji menjadikan Al Quran dan Hadis sebagai rujukan dan panduan dalam meghasilkanGurindam Dua Belas ini. Segala suruhan, larangan, peringatan, rukun, dan nasihat yang digarap dalam gurindam ini telah dikaji dahulu sebelum lahirnya gurindam ini. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri untuk memilih bahan, mengejapkan dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. .

Antara pemikiran yang terdapat di sebalik Gurindam 12 ini ialah tanggungjawab seseorang individu dalam melaksanakan perintah Allah. Sebagai orang yang beragama Islam, kita perlu melaksanakan kewajipan sebagai orang Muslim seperti yang diperintahkan Allah. Hal ini bertujuan membuktikan kepatuhan kita terhadap Allah. Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah mematuhi rukun Islam dan rukun iman serta tanggungjawab terhadap diri sendiri dan agama sebagai orang Islam dengan penuh rasa ketakwaan.

Melaksanakan tanggungjawab kepada-Nya sebagai landasan untuk mendapat kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Kesempurnaan di dunia dari sudut jasmani dan rohani amat penting untuk mendapatkan ketenangan di akhirat. Contoh bait Gurindam 12 yang menjelaskan pemikiran karya ini dapat dilihat pada Fasal 1 dan fasal 2 :

Ini gurindam pasal yang pertama
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.

Ini gurindam pasal yang kedua
Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

Maksud fasal pertama gurindam tersebut ialah memberi nasihat tentang agama yang perlu diutamakan dalam kehidupan dengan menjauhi perkara mungkar dengan mengingati pembalasan di akhirat. Pada fasal kedua pula, penulis tetap menegaskan prinsipnya dalam kepatuhan terhadap Tuhan iaitu dengan memasukkan kepentingan rukun Islam di dalamnya. Penghayatan yang mendalam terhadap keseluruhan isi gurindam ini dapat menimbulkan pemikiran sebenar yang ada pada Raja Ali Haji untuk memimpin manusia ke arah kebenaran.

Walaupun begitu, bukan pada kedua-dua fasal ini sahaja terdapat pemikiran tentang tanggungjawab sebagai seorang individu yang beragama Islam, sebaliknya keseluruhan isi Gurindam 12 ini memberi nasihat dan bimbingan ke arah kesempurnaan manusia. Hal ini terbukti apabila dilihat pada fasal kedua belas, penulis mengingatkan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah sehinggalah ke saat kematian pun kita perlu berbakti kepada Allah.

Selain itu, terdapat juga pemikiran Raja Ali Haji mengenai hakikat manusia sebagai makhluk yang perlu menambah ilmu pengetahuan tentang manusia di bumi ini. Pemikiran beliau membawa warna tersendiri dengan pengungkapan yang menarik dan tetap berilmiah kerana apabila ditapis terdapat nilai luhur yang terkandung di dalamnya.

Melalui huraian yang ada dalam Gurindam 12, kita dapat lihat bahawa Raja Ali Haji seorang yang sangat menekankan kesucian jiwa manusia sebagai langkah utama untuk menuju kebahagian yang abadi. Penekanan terhadap kesucian jiwa manusia ini mempunyai hubungan yang langsung dengan Tuhan dan masyarakat lain di sekeliling kita. Oleh itu, pemikiran beliau yang hebat tidak dapat disangkal lagi oleh sesiapa pun terutamanya dalam Gurindam 12.

Gurindam Dua Belas adalah satu karya yang diciptakan dengan teliti dan rapi oleh Raja Ali Haji. Kesungguhan beliau dalam membimbing masyarakat Melayu dapat dilihat dalam gurindam ini dengan jelas sekali. Melalui gurindam ini, pengarang menyampaikan ilmu tasawuf yang bersumberkan dari ajaran agama yang sebenar kepada pembaca. Ilmu tasawuf juga melingkungi pendidikan moral kepada masyarakat supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu dalam melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Oleh itu, nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Raja Ali Haji berdasarkan fenomena latar masyarakat Melayu pada masa itu perlulah dijadikan pedoman kepada semua pembaca.




Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

WARISAN BUDAYA JANGAN DILUPA

ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN