FEMINISME DALAM SASTERA MEMARTABATKAN WANITA

Assalamualaikum wbt. Dan selamat sejahtera

Apakah yang dimaksudkan dengan Feminisme ?
 

Feminisme ialah satu siri gerakan sosial, gerakan politik dan ideologi yang mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk mendefinisikan, membina dan mencapai kesaksamaan gender dalam bidang politik, ekonomi, peribadi dan sosial. Feminisme menggabungkan kedudukan bahawa masyarakat mengutamakan pandangan lelaki, dan wanita dilayan secara tidak adil dalam masyarakat itu. Usaha untuk mengubah ini termasuk memerangi stereotaip jantina dan berusaha untuk mewujudkan peluang pendidikan dan profesional yang sama dengan lelaki. Sesetengah sarjana menganggap kempen feminis sebagai kuasa utama di sebalik perubahan sosial sejarah yang besar kepada hak wanita, terutamanya di Barat, di mana mereka hampir dikreditkan secara universal untuk mencapai hak pilih wanita, bahasa neutral jantina, hak reproduktif untuk wanita termasuk akses kepada kontraseptif dan pengguguran, dan hak untuk membuat kontrak dan memiliki harta. Banyak gerakan dan ideologi feminis telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mewakili pelbagai sudut pandangan dan matlamat.

Feminisme dalam sastera  

    Kedudukan sastera Melayu berbeza dengan Barat, yang sejarahnya sarat dengan tragedi misogini, wanita ditindas di setiap penjuru biologi, ekonomi, pendidikan, dan dengan sadisnya dihukum sebagai warga kelas kedua. Bagaimanapun dari segi budaya dan amalan adatnya, wanita Melayu suatu masa dahulu juga pernah terlantar dengan kemunduran. Anak gadis dipingit dan hanya memandang si teruna yang berlarian di padang. Wanita dipinggirkan serta suara wanita "dibisukan" dan bentuk-bentuk paparan yang didokong oleh watak-watak wanita tersebut sekadar menyerlahkan malecentredness.

    Di era pascamodenisasi ini, unsur feminisme dalam karya sastera telah diperkembangkan bagi memartabatkan kedudukan wanita. Terdapat banyak penulisan karya mula dihasilkan untuk mengangkat golongan wanita. Sebagai contoh puisi-puisi Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail mengambil suara perempuan yang identik dengan sifat kelembutan kewanitaan Melayu dalam meniti kehidupan. Dalam dunia Sastera Melayu mempunyai empat tokoh terkenal, iaitu Rosnah Baharuddin, Siti Hajar Che Man, Membunga @ Siti Meriam Yaacob dan Haryatie Abdul Rahman sebagai pemegang mohor kedoktoran feminisme. Kini, sastera feminisme tidak lagi terkurung sebagai teks domestik. Pengarangnya sudah membuka pintu dan jendelanya, melakukan ziarah dan kunjungan ke dunia luas pascamoden. Reformasi yang dilakukan ini adalah untuk mencapai objektifnya iaitu mengangkat perjuangan serta status wanita.

    Pada pandangan saya, unsur feminisme perlu tumbuh mekar dalam karya sastera tempatan sementelahan lagi bila kita melihat wanita mendominasi dalam nisbah yang cukup besar di institusi pengajian tinggi, juga dalam sektor sosial dan politik. Sastera Melayu dilihat sebagai satu elemen yang memperjuangkan hak wanita melalui penulisan yang akhirnya menjadi pembakar semangat kepada kaum wanita untuk terus berjaya. Sememangnya golongan wanita mampu menjadi aset yang bernilai kepada sesebuah negara dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui idea pemikiran lateral mereka.

 











Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

KRITIKAN FILEM : PULAU