Duta Bahasa Melayu Mengantarabangsakan dan Memperkasakan Bahasa Melayu

 Assalamualaikum wbt. dan Salam sejahtera.






Bahasa Melayu sudah termaktub statusnya yang utuh seperti yang terpateri dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara. Laungan suara 'mengantarabangsakan' bahasa Melayu yang bergema bukan perkara baharu diperkatakan namun tujuannya adalah untuk memastikan kelestarian tindakan konsisten iaitu meletakkan bahasa Melayu di tempat sewajarnya. Mutakhir ini, timbul polemik dimana terdapat segelintir rakyat Malaysia sendiri yang seolah-olah menjatuhkan martabat bahasa Melayu dan timbul perasaan ketidakyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi selain mengagung-agungkan bahasa ibunda negara lain. 

Justeru, di manakah pendirian kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai bahasa kebangsaan sendiri ? Tidak salah menguasai bahasa lain tetapi usah sampai bertindak melupakan bahasa yang menjadi 'darah daging' kepada semua kaum untuk mencapai kemerdekaan. 

Lanjutan daripada itu, usaha yang sewajarnya perlu dilakukan agar tidak lagi timbul polemik sedemikian. Salah satunya, duta bahasa perlu diperkenalkan sebagai satu egen pemangkin kesedaran isu bahasa dalam negara di samping membantu menjadi pemegang taruh menjaga kelestarian bahasa Melayu sebagai pemersatu bangsa. Di Malaysia, panggilan duta bahasa tidak popular dan janggal di halwa telinga tetapi jika disosialisasi, kehadiran duta bahasa akan menjadi sinonim dengan perjuangan mengantarabangsakan dan memperkasakan bahasa Melayu. Individu yang dilantik menjadi duta bahasa mesti berpengetahuan luas dalam bidang bahasa dan sastera, berketerampilan, berkeyakinan dan amanah dengan tugas yang diberikan agar mampu berkolerasi dengan tepat dan betul.

Duta bahasa boleh dikatakan sebagai pempengaruh untuk bercakap dan melontarkan pandangan dari aspek bahasa dan sastera. Duta bahasa juga perlu melindungi serta mempromosikan bahasa Melayu dan seterusnya mensosialisasikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam masyarakat. 

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 juga memberi impak yang amat besar dalam usaha menyerlahkan lagi bahasa Melayu di persada antarabangsa dengan penggunaan bahasa bombastik dalam lisannya. Penggunaan istilah Bahasa Melayu yang digunakan oleh beliau terutama pada sidang media atau menerusi kenyataan rasmi juga telah menarik minat rakyat Malaysia untuk mengenal pasti permaknaan bagi perkataan tersebut. 

Usaha mengantarabangsakan dan memperkasakan bahasa Melayu seharusnya dipergiat secara aktif dengan kerjasama dari semua pihak supaya isu merendahkan martabat bahasa Melayu dapat dinyahkan dalam mentaliti seluruh masyarakat. Justeru itu, mampu membugarkan bahasa kebangsaan Malaysia. 


Sekian, terima kasih. 


Popular posts from this blog

SASTERAWAN NEGARA : PEJUANG SASTERA NEGARA

ABDULLAH MUNSYI : BAPA KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

KRITIKAN FILEM : PULAU